Kertas tisu – apa yang istimewanya pada sehelai kertas tisu, digunakan mungkin untuk membersihkan hingus, mungkin untuk mengelap tangan yang basah, mungkin untuk mencuci kasut yang kotor atau mungkin terletak didalam kereta tanpa disentuh oleh sesiapa hanya sebagai penghias didalam kenderaan semata-mata. Kadang kala peranannya begitu besar dan kadang kala begitu menjijikkan. Namun ia amat-amat diperlukan sehinggakan ada orang yang kaya raya dengan mengeluarkan kertas tisu sebagai hasil usaha pekerjaannya.
Jika kertas tisu mempunyai peranan yang tersendiri, bagaimana pula peranan kita sebagai manusia, yang dijadikan penuh dengan kesempurnaan, boleh berfikir, boleh berjalan, boleh melakukan banyak perkara didalam kehidupan. Apakah peranan yang boleh kita lakukan? Apakah tanggung jawab yang perlu kita laksanakan? Apakah pengorbanan yang perlu kita lakukan bagi memastikan kehidupan ini penuh dengan pengertian yang dikehendaki oleh Allah swt?
Firman Allah swt
”Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sungguh, aku seorang pemberi peringatan yang jelas dari Allah untukmu. (50) Dan janganlah kamu mengadakan tuhan yang lain selain Allah. Sungguh, aku seorang pemberi peringatan yang jelas dari Allah untukmu.(51) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu(56)” Az Zariyat 50-51 & 56
Peranan yang jelas untuk kita mentaati Allah swt dan tidak mengambil tuhan selain Allah untuk beribadah kepada Allah swt. Suatu peranan bukan untuk diketahui semata-mata tetapi untuk kita laksanakan didalam kehidupan. Sesuatu yang perlu dibuktikan didalam tindakan dan amal kehidupan yang perlu berasaskan kepada akidah yang jelas serta keikhlasan semata-mata kerana Allah swt. Sebagai seorang islam apakah pengertian ini telah menjiwai diri kita? Jika belum apakah kita akan mengambil keputusan untuk mencapai tujuan tersebut atau kita telah bermula dengan beberapa langkah, namun apakah langkah-langkah tersebut sudah memadai bagi diri kita untuk mendapat balasan yang terbaik dari Allah swt?
Kita perlu bermula dan langkah pertama adalah dengan menambahkan ilmu pengetahuan kita terhadap Islam itu sendiri, kita perlu sedar apakah pengertian Islam, bukan setakat islam disegi nama, bukan setakat telah melakukan solah tetapi lebih dari itu kerana Islam adalah sebuah sistem kehidupan yang mencakupi segala ruang lingkup kehidupan manusia. Bila kita melihat sebuah kereta kita akan menyetakan ianya sebuah kereta apabila kita melihat secara keseluruhan kereta tersebut, kita tidak memangil roda sebagai sebuah kereta, kita tidak memanggil stering kereta sebagai kereta, kita hanya memanggil kereta apabila semua peralatan yang ada pada sebuah kereta telah disusun dan dipasang dengan sempurna, serta boleh berfungsi dengan baik sekali. Walaupun telah dipasang dengan baik sekali tetapi tidak boleh berfungsi kita masih menyatakan tidak ada gunanya kerana peranan yang sepatutnya tidak dapat dilaksanakan. Apakah fungsi kita sebagai manusia dapat kita laksanakan seperti yang dikehendaki oleh Allah swt? Allah hu alam
No comments:
Post a Comment