Tuesday, August 31, 2010

coretan hari kemerdekaan

Merdeka, merdeka, merdeka,
Sering kita laungkan,
Jika direnung kembali laungan keramat,
Merdeka benarkah kita,
Dari penjajah yang tidak cuma menjajah tapi juga menghina,
Bukan cuma Negara,
Tapi turut dijajah pemerintahan juga pegangan kita,
Alhamdullilah,
Negara tidak lagi ditangan mereka,
Pemerintahan juga dipegang bangsa kita,
Namun masih belum terjawab,
Kemana pergi pegangan kita,
Tidak,
Kita masih belum merdeka sepenuhnya,
Pilihan ditangan kita,
Namun kebanyakan antara kita memilih untuk dijajah semula,
Masakan tidak,
Malu kebanyakan gadis melayu hilang entah kemana,
Walau tidak kesemua,
Ini sangat merbahaya,
Membawa fitnah pada agama,
Kurung, kelubung hilang entah kemana,
Skirt, jeans ketat,t-shirt adik-adik pula yang dijumpa,
Diperaga dengan penuh gaya,
Jika ditonton megah terasa tidak terkira,
Jika diusik marah pula dia,
Terasa diri begitu berharga,
Diusung kesini juga kesana,
Apa terlupakah kita,
Yang tertutup itu indah sebenarnya,
Jika dulu gagah perkasa,
Melengkapkan diri dengan tingkah beragama,
Kebanyakan kini lihat tidak bertenaga,
Bukan kesemua,
Namun ini seperti membiarkan agama dipersenda,
Sifat kepimpinan yang harus ada,
Lapuk dek hujan,
Lekang dek panas,
Seiring kemahuan kalian hidup beragama,
Cita-cita syahid dituduh syadid,
Kerana mata telah tertutup pandangannya,
Oleh harta,pangkat juga wanita,
Lalu rindu dan janji menemui Allah terlupa,
Kerana mabuk rindu dan janji bertemu sidia,
Yang jelas melalaikan tanpa ada ikatan halal disisi agama,
Kerana takut tidak jantan,
Suruhan agama rela ditinggal,
Sedarlah kita wahai pejuang agama,
Islam itu bukan pada nama Cuma,
Jua pada bangsa, warna kulit atau pada pengakuan semata,
kita adalah pejuang agama,
mewarisi cara hidup islam,
hidup kerana Allah semata,
kita tinggalkan pemikiran yang telah lama menjajah,
kemabli pada fitrah kita,
fitrah beragama,
mempertuhankan Allah yang satu,
bukan hanya menurut hawa nafsu,
buat wanita yang mendamba cinta,
muliakan suamimu dengan memelihara,
dirimu agar terus terjaga,
buat lelaki kalian adalah pejuang agama dan bangsa,
kami wanita tidak mahu terus teraniaya,
peliharalah mahrammu,
dengan sebaik-baiknya….
BANGUNLAH PEMUDA DAN PEMUDI HARAPAN AGAMA DAN BANGSA DARI TERUS TERLENA

Download software secara percuma di laman ini :

Selamat Hari Kemerdekaan yang ke 53.

Semoga anda sentiasa merdeka dari kekuasaan hedonisme.


Dalam mata yang bersih merayap cahaya yang jernih,

aku sama menagih kemerdekaan kekasih.

Dalam dada yang mesra tenang telaga cinta,

aku janji setia membela tanah pusaka.

Kira ribut mendurja mengancam tanah yang indah,

setapak tiada kurela untuk melutut kecewa.

Biar peluru selaksa mendendam liar mangsanya,

untuk kekasih pusaka matiku tetap rela.

Dalam hati berlari berbaja kasih dihati,

azam besi berumbi melebur penjajah dibumi!

Dalam rindu berpadu, hitam dendam terpendam,

aku terlalu merindu fajar cemerlang menjelang.

Hati ini seluruh kasihkan kekasih sepenuh,

beri janji yang teguh hingga badanku luluh!

Pada Tanah Yang Indah oleh A. Samad Said.

Monday, August 30, 2010

How to Accept Invitation as Contributors :)

Salam satu Akidah. Ini adalah 5 cara untuk terima dan hasilkan tulisan di blog. Sila sumbangkan apa-apa informasi. Jangan segan-segan. Untuk kebaikan semua. :) Sila klik untuk lebih jelas.

1)


2)


3)


4)

5)

Saturday, August 28, 2010

Puasa dan hakikatnya..

Pelbagai definisi puasa yang selalu diutarakan oleh para Daie mahupun dalam pelbagai tulisan dalam kitab-kitab fiqh…namun persoalannya ialah sejauhmana manusia ini mampu menghayati seterusnya dapat mengaplikasi prinsip-prinsip puasa dalam pengamalan kehidupan seharian…

Puasa ini sebenarnya bukanlah proses menahan diri daripada lapar dan dahaga namun jika kita dapat ,menilai falsafahnya ialah apabila kita ini dapat menghilangkan keinginan diri kerana menurut KEINGINAN-NYA,,, dan mengikut KEHENDAK-NYA serta menghilangkan kehendak sendiri atas nama keTAATan dan jua keTAQWAan…

Antara kemuliaan dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak ini ialah kita dapat melihat betapa agungnya puasa. Puasa bukan suatu ibadat yang amal perlakuannya untuk manusia tetapi ianya adalah ibadat yang amal untuk Allah S.W.T dan Allah S.w.t yang akan memberikan ganjaran kepada hambanya. Sebagaimana yang oleh sahih Bukhari menerusi hadis Qudsi, dalam kitab Siyam fi Bab Al-Fadl Siyam…

“ setiap amalan anak-anak adam adalah untuknya melainkan PUASA, sesungguhnya ianya untukKU (ALLAH) dan Akulah yang akan memberi ganjarannya…

Oleh itu, dapatlah kita melihat bahawa Puasa ialah suatu perlakuan yang amalnya bukanlah dinilai secara zahir sahaja namun puasa juga dinilai dari batinnya… penilaian terhadap batin ini ialah sejauhmana ketundukkan nafsu yang mampu kita tundukkan dalam bulan ramadhan ini… hipotesis yang mampu dikatakan ialah apabila berlakunya ketundukkan batin,,,maka yang terzahir ialah ialah ketundukkan secara zahir…

Selain itu, antara kelebihan puasa ialah puasa ini dapat diibaratkan seperti perisai yang ampuh serta kukuh sekiranya ianya benar-benar dihayati dalam masyarakat Islam… sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab Siyam fi Fadl Siyam…

“ Puasa itu perisai, janganlah bercakap bohong dan janganlah melakukan amalan orang-orang jahil”

“ Puasa itu perisai daripada api neraka, sebagaimana perisai yang digunakan untuk melindungi seseorang daripada musuhnya…”

(An-Nasa’ie Kitab Siyam fi Fadl Siyam)

Oleh itu, dalam bulan puasa ini seharusnya kita dapat membina sebuah perisai yang ampuh serta kukuh dalam menghadapi ujian Allah serta semoga kita dapat mengaplikasikan ramadhan kali ini ialah suatu proses tarbiyah yang bermakna dalam kehidupan seharian…

Tidak semua yang dihitungkan dapat diperhitung, dan Tidak semua yang diperhitungkan dapat dihitung..

TAQWA ITU TAAT TAPI TIDAK MAKSIAT…
TAQWA ITU SYUKUR TAPI TIDAK KUFUR…
TAQWA ITU INGAT TAPI TIDAK LUPA...

Tuesday, August 24, 2010

How to Print Screen :)


Salam satu akidah.. Serba sedikit tunjuk ajar mengenai cara-cara print screen. Semoga bermanfaat. :)
Cara-caranya, pada keyboard laptop atau pc kita ada button CTRL dan PRTSC/SYSRQ.
Tekan button CTRL dan PRTSC/SYSRQ itu serentak.
Selepas itu, anda tekan button CTRL + dan abjad V ke Accecories PAINT.
Ok. Anda dah boleh save as. Pastikan tukar type as JPEG, ok! Macam nie..
Seandainya ditakdirkan ianya 'keluar' seperti ini...

Apa yang harus anda lakukan adalah >>> buka imej JPEG tadi dengan Microsoft Office Picture Manager.

Ok. Anda open with ya file jpeg tadi.


Klik pada edit picture, and select untuk crop.

Ok, bila anda dah berpuas hati dengan gambar itu. Ya, sila klik OK! :)

Hasilnya akan jadi seperti ini


Ok. Good luck. Survive, and you will got the wrong. ;p

Sunday, August 22, 2010

Pelindung Vs Perosak

Lelaki yang bijak sentiasa berusaha menjadi pelindung kepada wanita.
Lelaki yang bijak takkan meminta dan mengharapkan sesuatu yang belum menjadi haknya.
Lelaki yang bijak sentiasa menjaga pandangan mata dan hatinya.
Lelaki yang bijak menyedari bahawa seorang perempuan itu hanya mahu dirinya dihormati.
Lelaki yang bijak hanya mahukan wanita yang terbaik untuk menjadi suri hidupnya.




Bagaimana seorang lelaki dapat menjadi pelindung terbaik bagi wanita? Adakah dengan menghubungi wanita itu selalu, bertanyakan khabar, mengajaknya pergi makan supaya dia tahu si gadis makan mengikut masa, atau dengan mengucapkan kata-kata sayang?


Saya hendak berkongsi sebuah kisah benar berkenaan seorang sahabat yang sering risau akan keadaan dirinya yang masih
single and available. Risau bila dikatakan tidak mengikuttrend. Risau bila huluran ikhlasnya tidak disambut oleh gadis yang dipuja. Sering merasakan dirinya LOSER kerana kononnya tak ada perempuan nak mahu padanya, sikit-sikit kena reject saja. Geli hatiku. Sampai begitu sekali fikirannya parah.


Persoalannya, adakah dengan SMS selalu, rajin bertanya khabar, dan rajin segala dapat menjamin dia menjadi pelindung atau hero paling hebat kepada wanita tersebut? Sekali kita mulakan langkah. pasti akan membawa kepada langkah seterusnya.
One thing leads to another. Silap-silap lebih menjadi perosak daripada pelindung.

"Merosakkan?"

Yalah. Merosakkan dengan menambah saham dosa yang ditanggung oleh perempuan. Pelindungkah?

Merosakkan dengan setiap tindakannya yang akhirnya membuatkan perempuan tersebut gila bayang padanya hingga melupakan yang mana langit dan yang mana bumi.
Pelindungkah?


Merosakkan dengan membuatkan perempuan itu merasakan setiap perbuatan yang dilakukan untuk 'mengeratkan hubungan' itu supaya terasa ‘enak dan indah' walaupun hakikatnya masing-masing menyedari diri terjerumus dalam kancah dosa.
Pelindungkah?

Merosakkan dengan membuatkan diri anda dan diri orang yang 'disayangi', buah hati pengarang jantung berenang-renang dalam lautan dosa tatkala anda sedar tidak mampu memberikan sesuatu yang halal kepadanya.
Pelindungkah?

Merosakkan akhirnya hanya kerana pada awalnya telah MEMULAKAN.
Pelindungkah?


Jadilah pelindung kepada kaum Hawa dengan tidak memandang kami.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menambahkan ilmu dengan amalmu,
supaya nanti pabila tiba masanya, dapat kalian menjadi pemimpin keluarga yang dihormati.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menjaga sebaik-baiknya akhlakmu.
Jadilah pelindung yang terbaik dengan mencontohi Rasulmu!


Mahu menjadi pelindung?
Mintalah pertolongan kepada Allah semoga Dia sentiasa melindungi. Kita hanya manusia biasa yang tidak berdaya. Di saat anda masih belum mampu, cukuplah dengan meminta Dia yang melindungi dan memerhati. Kita manusia dengan pelbagai keterbatasan, takkan mampu untuk menjadi superhero paling sempurna kerana tiada yang sempurna melainkan-Nya. Jadilah lelaki pintar yang sentiasa bijak menilai.


Lelaki yang pintar sentiasa risau dirinya akan membawa fitnah kepada wanita,
Lelaki yang pintar tidak akan sekali-kali gentar apabila seorang wanita bertindak tegas terhadapnya kerana dia sedar itulah wanita sejati!
Yang mempunyai harga diri, yang takut kepada Ilahi.
Lelaki yang pintar takkan risau dan gusar dengan status ‘single' kerana dia tahu dengan izin-Nya kelak dia akan berjabat dengan seorang wali yang bakal memberikan titik noktah kepada status tersebut!


Wahai
1ar-rijal, bangkitlah kalian. Anda dikurniakan kelebihan berbanding kami, gunakanlah kelebihan tersebut. Janganlah ambil sifat kami. Kami insan lemah, anda yang harus kuat!


Jangan mengharapkan sesuatu yang kami tidak mampu beri.
Jadilah kalian pelindung yang sejati,
agar kita senantiasa berada dalam reda Ilahi,
sampai tiba saatnya nanti...


Soallah diri kita, kenapa kita masih belum mampu melaksanakan suruhan-Nya sedangkan kita tahu apa yang benar?

Soallah diri kita, apa guna kita mengharap syurga seandainya perintah yang disuruh-Nya tidak mahu dilakukan malah dipandang sipi dan diabaikan?

Soallah diri kita, jika setiap muslim sudah dijanjikan syurga, yakinkah kita akan meninggalkan dunia ini dengan
2husnul khatimah? Yakinkah kita akan meninggalkan dunia sebagai muslim? Yakinkah kita syurga milik kita? Yakinkah?

Soallah diri kita, andaipun syurga dijanjikan kepada kita, sanggupkah kita mengharungi neraka sebelum menjejak ke syurga lantaran "hutang" kita terhadap Sang Pencipta yang belum langsai? Sanggupkah?



Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik.
Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?"

(Hadis riwayat lmam Muslim)


Bagaimana mungkin doa kita untuk ke syurga dimakbulkan andainya Allah memalingkan pandangan-Nya daripada kita lantaran 'haram' yang kita 'halalkan'? Kita yang muda kena sentiasa beringat bahawa kita merupakan harapan agama. Banyak lagi cabaran yang harus dihadapi dalam hidup ini, banyak lagi tanggungjawab yang menanti. Tolaklah ketepi perkara-perkara remeh yang tidak membawa manfaat kepada diri dan 'kawan' melainkan KEROSAKAN sahaja.


Lelaki yang baik takkan berusaha mendekati,
meskipun dengan niat yang suci,
kerana dia sentiasa menyedari,
niat mungkin terpesong sekalipun begitu murni,
kerana dia mengakui,
makhluk bertanduk dua sentiasa "ready"!
Ingatlah, Dia jua yang Maha Memerhati.


Fikirkan dengan akal, renungkan dengan hati. Tolak tepi nafsu di hati yang mengaburi hati kita daripada menilai yang baik dan buruk, kerana hati tidak pernah menipu.



Wabishah bin Ma'bad berkata: Aku mendatangi Rasulullah, dan baginda bertanya "Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?"

Aku menjawab, "Ya, benar."

Baginda bersabda, "
Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram, sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali manusia memberi fatwa kepadamu."

(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Tiada gunanya segala apa yang diperkatakan andainya hati kita tertutup daripada kebenaran. Bersihkanlah hati kita, sesungguhnya itulah anggota yang paling berharga. Disebabkan kerosakan hati itulah berlakunya kerosakan-kerosakan yang lain. Rajin-rajinkanlah membersihkan hati. (petikan dari iluvislam)




Glosari

1 Ar-rijal: Lelaki, pemuda.
2 Husnul khatimah: Pengakhiran yang baik.

Friday, August 20, 2010

jangan sombong!


Di suatu masa dahulu, terdapat seorang alim ulamak yang tersohor kerana ilmu dan amalannya. Beliau adalah seorang penghafal Al-Quran dan juga penghafal beribu - ribu hadith sahih semenjak kecil lagi. Dan semenjak kecil lagi,beliau telah di hantar oleh kedua ibu dan bapanya untuk menuntut di Mekkah dan Madinah selama berpuluh tahun lamanya. Bapanya juga adalah seorang alim ulamak yang pernah mengembangkan agama Islam sampai ke negara selatan Siam.

Mengikut ceritanya, bapanya adalah orang pertama di zaman moden ini yang bukan daripada warga Arab Saudi diberi penghargaan mengimamkan solat fardhu di Masjidil Haram, Mekkah. Nak dijadikan cerita, pada suatu masa, alim ulamak tersebut telah jatuh sakit lalu tidak dapat untuk mengimamkan solat fardhu di suraunya.

Maka tiba - tiba datanglah seorang yang berpakaian buruk (seolah - olah kelihatan tidak siuman) sejurus sebelum solat fardhu di laksanakan. Alim ulamak tersebut telah meminta supaya orang yang berpakaian buruk tersebut untuk menggantikannya menjadi imam! Setelah solat fardhu selesai, maka orang yang berpakaian buruk tersebut telah memohon untuk mengundur diri. Kelihatan senyuman terukir pada wajah murid - murid alim ulamak tersebut kerana semasa sembahyang fardhu tadi, orang yang berpakaian koyak tersebut tidak membaca surah fatihah dan surah yang lain dengan tajwid yang betul.

Mereka tidak biasa dengan keadaan sebegitu kerana guru mereka, iaitu alim ulamak tersebut, adalah seorang yang fasih dalam berbahasa arab serta mempunyai bacaan tajwid yang sungguh baik sekali (maklumlah seorang al-hafiz dan sudah berpuluh tahun belajar di Mekkah).

Maka alim ulamak tersebut telah bersalaman dan berpelukan dengan orang yang berpakaian buruk tersebut sebelum orang yang berpakaian buruk meninggalkan surau. Setelah itu, alim ulamak memanggil keseluruh muridnya berkumpul di hadapannya lalu beliau telah bercerita :

Pernah berlaku di suatu kampung di timur tengah dimana terdapat seorang pengembala kibas yang sangat alim, sangat suka merendahkan diri dan suka menolong penduduk kampung sekiranya di minta pertolongan. Cuma yang peliknya, ternakan kibasnya yang di kurung di dalam sebuah kandang yang serdehana besar itu tidak pernah luak walau banyak mana sekalipun orang datang untuk membeli kibas daripadanya. Belilah sampai seratus ekor sekalipun, setelah kibas-kibas tersebut di bawa keluar daripada kandang, yang tinggal di dalam kandang tetap kelihatan sama banyak bilangannya seperti sebelum seratus ekor di bawa keluar daripada kandang!

Maka seluruh alim ulamak penduduk kampung telah beranggapan bahawa pengembala kibas tersebut adalah seorang aulia' Allah dan mereka telah bermuafakat untuk pergi berjumpa dengan pengembala kibas tersebut dan memohon supaya dia mengimamkan solat dimasjid kerana mereka mahu mengambil berkat menjadi makmum kepada pengembala kibas tersebut.

Hasrat mereka telah di persetujui oleh pengembala kibas. Sembahyang pun di laksanakan di masjid, dan pengembala kibas telah menjadi imam. Malangnya, semasa membaca surah fatihah dan surah berikutnya, bacaan beliau tidak sempurna tajwidnya. Maka setelah selesai sembahyang, seluruh penduduk kampung telah pulang kerumah masing - masing sambil ketawa terbahak - bahak kerana mereka berfikiran bahawa tanggapan mereka terhadap pengembala kibas sebelum ini sebagai aulia' Allah telah jauh meleset.

Pada malam tersebut, seluruh alim ulamak penduduk kampung telah bermimpi, dan mereka mendapat mimpi yang sama. Datang seorang lelaki yang tinggi dan kacak di dalam mimpi mereka dan lelaki tersebut telah mengatakan bahawa seumur hidup mereka bersembahyang, itulah baru kali pertamanya sembahyang mereka telah diterima Tuhan! Subhanallah!

Keesokan harinya, kesemua alim ulamak penduduk kampung berkumpul dimasjid untuk menunaikan sembahyang subuh dan setelah selesai sembahyang subuh mereka terus menuju ke kandang pengembala kibas. Malangnya, pengembala kibas telah tiada, kandang dan kibasnyapun telah tiada. Bekas kandangpun tiada, seolah - olah kandang kibas tidak pernah wujud!

Setelah selesai menceritakan kisah pengembala kibas, maka kebanyakan anak muridnya telah menangis kerana mereka tahu mereka telah membuat kesalahan kerana telah mendahalui Allah dengan merendahkan amalan makhluk Allah yang lain, sedangkan mereka sendiri tidak tahu akan kedudukan mereka di sisi Allah.

Allah Ta'ala telah berfirman yang sekira - kira bermaksud :

"Janganlah engkau semua melagak - lagakkan dirimu sebagai orang suci. Allah adalah lebih mengetahui kepada siapa yang sebenarnya bertaqwa."
(SurahAn-Najm : 32)

"Janganlah engkau memalingkan muka dari para manusia sebab kesombangan dan janganlah berjalan di bumi dengan takabbur, sesungguhnya Allah itu tidak suka kepada setiap orang yang sombong dan membanggakan diri."
(Surah Luqman 1)

*Konklusinya, jangan pandang rendah pada orang lain. Ya, mungkin sekarang dia tidak seperti kita. Tapi siapa tahu? Hidayah datang dari-Nya...

*Ajaran-ajaran Tarikat Naqsyabandiah karangan Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi ada menyebut: "Janganlah anda menghinakan orang lain kerana, mungkin orang yang anda hinakan itu lebih baik dari diri anda sendiri disisi Allah"

Allahu'alam.

Sunday, August 15, 2010

Selamat Bersedekah

Assalamualaikum w.b.t.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi : “Setiap yang baik itu sedekah.”

Terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan untuk bersedekah. Sedekah bukannya dikira berdasarkan nilai wang semata-mata, bahkan skopnya lebih luas.

Setiap kata-kata yang baik dikira sedekah.

Setiap langkah menuju solat itu sedekah.

Hatta senyuman itu juga diambil kira sebagai sedekah.

Nah, terbuka luas jalan untuk kita melakukan sedekah.

Pendek kata, segala amalan kebaikan yang kita buat, ganjaran pahalanya sangat besar.

Ketika solat, kebanyakan orang akan memakai songkok atau kopiah. Ada segelintir yang tak memakainya. Pemakaian songkok atau kopiah pun dikira sebagai perkara ma'ruf jika dilakukan. Terkadang kita selalu memandang remeh akan hal ini. Solat tanpa kopiah atau songkok pun dikira sah. Namun, lagilah cantik kalau kita sempurnakan zahir kita dengan amalan ma'ruf ini agar kita mendapat ganjaran sedekah yang dijanjikan.

Selain itu, mendahulukan kaki kanan ketika memakai kasut. Ini juga dikira sebagai yang ma'ruf. Nampak memang sangat mudah. Mulakan kaki kanan dahulu ketika memakai kasut. Apabila nak menanggalkan kasut pula, keluarkan kaki kiri dahulu. Sebabnya ? Supaya kaki kanan berada lagi lama di dalam kasut berbanding kaki kiri. Ini sebagai satu bentuk penghormatan kepada kaki kanan. Persoalannya, pernahkah kita fikirkan ini semua dan melakukannya ?

Bahkan masuk ke masjid dengan kaki kanan dahulu disertai doa masuk masjid, juga antara adab yang harus menjadi amalan yang boleh menambah sedekah kita.

Kalau difikir-fikirkan, segala aktiviti harian dalam hidup ini, semuanya dikira sebagai sedekah sekiranya kena cara dan aturannya.

Boleh jadi, sekecil-kecil amalan yang kita buat, dipandang tinggi oleh Allah. Kita fikir benda tu nampaknya kecil dan remeh. Tapi di sisi Allah, siapa yang tahu. Kita pun tak dapat menilai amalan manakah yang kita buat, yang diterima oleh Allah.

Kerana setiap yang baik itu, dianggap satu bentuk sedekah yang ternyata sangat menguntungkan kita jika diamalkan. Sekecil-kecil amalan itu, mungkin sebesar-sebesarnya di sisi Allah.

Jadi, janganlah kita memandang mudah pada segala bentuk amalan yang baik itu. Selagi dikurniakan kesihatan yang baik, berlumbalah melakukan amal kebaikan. InsyaAllah ada sahamnya di akhirat kelak.

p/s : Ramadan telah menjengah..jom kita pakat2 tingkatkan amalan sedekah kita..yg kurang, kita tambah2kan.. ('',)

Saturday, August 14, 2010

MAJLIS TAHLIL ARWAH & BERBUKA PUASA 2010

-TERBUKA KEPADA SEMUA PELAJAR JABATAN USULUDDIN DAN FALSAFAH!-

PROGRAM TERKINI KUFAH :



merujuk kepada pengarah program:
Bayaran: RM5 (seandainya ada yang ingin menyumbang lebih, TAFADHAL)

Cara bayaran : sila rujuk kepada mana-mana exco KUFAH (2009/2010) yang berdekatan.

BERSAMA KITA MEMAKMURKAN MAJLIS


-AKTIFKAN DIRIMU DENGAN KUFAH-

Friday, August 13, 2010

apa hukum berdua-duaan lelaki dan wanita?


/>besarkan resolusi untuk lebih jelas.
Salam Satu Akidah dan Ramadhanul Kareem.

Di pihak ICT, saya ada buka akaun formspring untuk warga KUFAH berkongsi pandangan dan persoalan. Bagaimanapun, salah satu pertanyaan yang dikemukakan, saya harap dalam kalangan kita yang belajar dan tahu agama, boleh beri jawapan dan pandangan. Allahu'alam.


Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan > Tazkiyah al-Nafs ila al-Fitrah



Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas. (sumber)


Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan.



Salam Ramadhan buat warga pelajar, pensyarah, kakitangan Jabatan Usuluddin dan Falsafah.
dari

Faisal
Nakhoie
Fatin
Salihah
Najehah
Hayati
Atiqah
Kaka
Nasriah
Aziz
Hakim
Juwai
Faizuddin
Hasyilah
Umar
Faizah
Alif
Sakinah
Min
Am
Afiq

mohon maaf di atas segala kesilapan.

Program akan datang....

* Iftar Jam'ie 21 Ogos 2010 bersamaan 11 Ramadhan 1431 H.

* Minggu Usuluddin dan Falsafah 27 September - 1 Oktober 2010 bersamaan 18 Syawal - 22 Syawal 1431 H.

[ Bersama imarahkan majlis ilmu dan jama'e ini. ]

PTPTN (Kelompok II)

PENGUMUMAN UNIT KEBAJIKAN PELAJAR

JABATAN PERKHIDMATAN PELAJAR

PENGHANTARAN DAN PENYEMAKAN SURAT TAWARAN DAN DOKUMEN PERJANJIAN PINJAMAN PENDIDIKAN PTPTN BAGI SEMESTER I

SESI 2010/2011 UKM KAMPUS BANGI
(KELOMPOK KE II)

Sukacita dimaklumkan kepada pelajar yang telah berjaya ditawarkan Pinjaman Pendidikan PTPTN bagi Semester l Sesi 2010/2011 (Kelompok Ke ll) pelajar UKM Kampus Bangi, pelajar dikehendaki menghantar Surat Tawaran dan Dokumen Perjanjian pada:

Tarikh : 20,21 dan 22 Ogos 2010 (Jumaat,Sabtu ,Ahad)

Masa : 8.00 pagi – 4.00 petang

Tempat : Auditorium Siswa, JPPel, Bangunan Pusanika, UKM, Bangi

Sehubungan dengan itu pelajar perlu melengkapkan semua dokumen perjanjian dan salinan sijil-sijil perlu disahkan untuk mengelak sebarang kesulitan. Sebarang pertanyaan sila telefon atau hubungi di talian 03-89215316 Puan Wan Roshana Wan Embong (UKM)

Sunday, August 1, 2010

Doa Baca Quran

Untuk menarik minat supaya kita suka membaca al-Qur’an, serulah kepada Allah (s.w.t.) dengan doa ini. Mudah-mudahan ada manfaatnya:

اللَّهُمَّ نَوِّرْ قُلُوبَنَا بِتِلاَوَةِ الْقُرْآنِ، وَزَيِّنْ أَخْلاَقَنَا بِجَاهِ الْقُرْآنِ، وَحَسِّنْ أَعْمَالَناَ بِذِكْرِ الْقُرْآنِ، وَبَيِّضْ وُجُوهَنَا بِبَرَكَةِ الْقُرْآنِ، وَصَحِّحْ أَبْدَانَنَا بِكَرَامَةِ الْقُرْآنِ، وَنَجِّنَا مِنَ النَّارِ بِسِرِّ الْقُرْآنِ، وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ بِشَفَاعَةِ الْقُرْآنِ، وَاهْدِنَا بِـهِدَايَةِ الْقُرْآنِ، وَوَفِّقْنَا لِمَا تُحِبُّهُ وَتَرْضَاهُ بِمَنْ أُنْزِلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ، وَصَلَّى اللهُ وَسَلَّمَ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ مَنْ يَأْتِيْ بِالْقُرْآنِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ مَنْ يُلاَزِمُ الْقُرْآنِ، آمِيْن .

Mafhumnya: Ya Allah, Ya Tuhanku! Terangilah hati kami dengan membaca al-Qur’an, dan elokkanlah kelakuan kami dengan kelebihan al-Qur’an, dan perbaikilah segala perbuatan kami dengan mengingatkan al-Qur’an, dan putihkanlah wajah kami dengan keberkatan al-Qur’an, dan sihatkanlah badan kami dengan kemuliaan al-Qur’an, dan selamatkanlah diri kami daripada api neraka dengan rahsia al-Qur’an, dan masukkanlah kami ke dalam syurga dengan syafa’at al-Qur’an, dan berikanlah kami petunjuk dengan hidayah al-Qur’an, dan kurniakanlah kami taufik ke jalan yang Engkau suka dan redha dengan berkat orang yang diturunkan kepadanya al-Qur’an, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad (s.a.w.), orang yang membawa al-Qur’an dan juga ke atas keluarga dan Sahabat Baginda yang sentiasa membaca al-Qur’an. Amin.

Credit : Ustaz Ezad Azrai (ketika Bengkel Penulisan Ilmiah anjuran PMF & Kelab Jabatan pada 13 Ogos 2009)

INMAK '10


thanks umaralbanjari.