Thursday, September 20, 2012

PELAJAR BERIMAN CEMERLANG


PELAJAR BERIMAN CEMERLANG

Anda ingin menjadi pelajar cemerlang. Perkara ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi tidak sukar untuk diperoleh asalkan ada kesungguhan dan kegigihan. Malah,jika kita membuka lembaran Hadis Nabi, terdapat banyak petua yang boleh kita amalkan untuk menjadi pelajar cemerlang,bertaqwa dan soleh.

1. Keyakinan, kepercayaan, dan keimanan kepada Allah S.W.T 

Dalam proses pembelajaran, kita perlu yakin bahawa kita dilahirkan fitrah, lengkap dengan akal untuk berfikir dan terserahlah kepada ibu bapa untuk mencorakkan masa depan kita. 
Orang yang beriman akan menjadi pelajar cemerlang kerana mereka yakin Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu tanpa usaha dan ikhtiar.

Keimanan melahirkan jiwa yang tenang dan menjadikan seseorang itu pelajar cemerlang kerana mereka memiliki sikap-sikap positif.


2. Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

Ini yang kita lakukan dalam solat. Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan banyak berangan yang membuang masa kerana ia tidak memberi faedah. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.


3. Keutamaan

Jauhkan daripada perbuatan yang tidak berguna dan membawa keburukan.

Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama atau bersembang di facebook sehingga melebihi daripada masa rehat yang diperuntukkan.

Optimumkan penggunaan masa untuk belajar dan mengisi masa rehat kita dengan perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.

Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wuduk, melakukan solat sunat dan membaca al-Quran. Apabila kita rapat dengan Allah SWT jiwa kita lebih tenang.


4. Prihatin sesama kita

Walaupun berada di saat-saat genting, janganlah bersikap terlalu mementingkan diri dan mengabaikan kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, sama ada ilmu atau kertas soalan tahun lalu.


5. Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan atau asal tertekan mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.

Allah s.w.t sentiasa ada melindungi dan menolong jika kita mencari dan meminta dari-Nya.


6. Jujur, amanah

Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?

Elak menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis.


7. Tepati waktu

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita.

Jika sebelum ini, kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuangan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatah arang di pertengahan jalan.

Namun, jangan kita hanya mengaplikasikan konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan
kita dengan Allah SWT

kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita peroleh.

Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

sumber : Artikal Harian Metro