Saturday, May 21, 2011

Kriteria Gred Latihan Ilmiah


Berikut merupakan antara ciri-ciri umum menggambarkan setiap gred bagi latihan ilmiah. Krtiteria adalah pandangan umum dan tidak semestinya menjadi kayu ukur rasmi bagi mana-mana institusi, tetapi ia boleh menjadi panduan dan memberikan idea dan input kepada semua yang sedang dan telah meletihkan diri dalam latihan ilmiah. Panduan ini juga sesuai untuk tugasan esei dan apa jua projek akademik.

Gred yang diperolehi memberi refleksi kepada sejauhmana berjayanya seseorang pelajar menjalankan projek yang tergambar dalam dua perkara iaitu draf terakhir teks latihan ilmiah (produk) yang dinilai oleh penyelia dan juga apa yang telah dilalui oleh pelajar sepanjang menjalankan projek (penilaian subjektif, proses). Penilaian produk adalah secara objektif berasaskan beberapa aspek yang telah ditetapkan yang umumnya meliputi aspek teknikal, bahasa, dan isi kandungan. Secara khususnya ialah meliputi keseluruhan bahagian dalam tesis dari tajuk hinggalah ke senarai rujukan. Manakala penilaian proses yang sering diabaikan kebanyakan pelajar ialah meliputi dari hari pertama berjumpa penyelia, apa yang dibuat di lapang, di asrama, sehinggalah ke hari terakhir penyeliaan termasuk hari-hari yang tak jumpa-jumpa.

F
Tidak ada topik dan tidak ada tesis (penyataan hasil penemuan). Ia hanya mengupas sesuatu atau beberapa isu tetapi secara tidak tersusun dan tidak tentu arah. Ia memberi perhatian kepada beberapa perkara tetapi tidak mengaitkan antara satu dengan yang lain secara keseluruhannya. Ia hanya bincang secara umum tanpa memberikan perincian khusus. Ia ada pengenalan tetapi tidak ada struktur yang menarik untuk dibaca dan dikaji sehingga kelihatan draf terakhir latihan ilmiah yang dihantar seolah-olah draf pertama atau proposal. Ia tidak mendatangkan bukti dan hujah kepada penyataan yang diutarakan, tidak ada komen dan kupasan serta ulasan. Ia mungkin ada kesimpulan, tetapi ia tidak ada mempunyai benda baru, malah tidak membawa sebarang erti apa pun samada secara ideal kepada perkembangan ilmu ataupun secara praktikal kepada institusi akademik ataun kemasyarakatan. Cara penulisan adalah sangat lemah dan banyak melanggar kesalahan teknik penulisan Gaya UKM. Kesimpulannya, apabila membaca tesis ini, ia seolah-olah nota conteng pelajar semasa mendengar kuliah pensyarah yang termasuk tulisan-tulisan yang tidak ada kena mengena dengan apa yang disyarahkan. Penyelia kebiasaannya sebelum memberi markah fail ini, hanya membaca tesis ini sekali sahaja dan membacanya hanya sepintas lalu kerana mudah untuk menilai bahawa tesis ini hanya layak dapat F dan tidak perlu buang masa baca tesis ini. Kebiasaanya hanya berjumpa penyelia dua kali sahaja: sekali masa menghantar proposal, kedua menghantar final draft.

D
Ia mungkin ada topik, tetapi tidak ada tesis atau mungkin juga ada tesis tetapi yang tidak munasabah dan tiada hujah yang boleh menyokongnya sehingga sesiapapun dalam dunia ini boleh menolaknya dengan mudah. Ia menyelongkar sesuatu isu tanpa membuat apa-apa penghujahan terhadapnya. Ia tidak cuba menjelaskan apa-apa hubungan antara isi-isi yang dinyatakan. Ia mungkin mendatangkan bukti-bukti, tetapi gagal menjelaskan hubungkait penyataan dengan bukti-bukti tersebut serta tidak memberikan apa-apa analisa dan hujah sokongan terhadapnya. Tesis ini hanya lebih kepada huraian panjang lebar tak tentu arah dan syok sendiri tanpa berpandu kepada tujuan dan persoalan kajian. Ia mempunyai struktur yang lemah serta tidak mengokong penyataan dan perenggan yang tidak tersusun isinya.Ia memberikan kesimpulan yang tidak disokong oleh apa-apa hujah atau ada hujah tetapi tidak ada kaitan sehingga menimbulkan tanda tanya kepada pembaca. Gaya penulisan yang taraf budak sekolah menengah dan mengikut Gaya UKM secara tidak konsisten. Banyak kesalahan bahasa dan struktur ayat yang tidak betul. Jarang-jarang jumpa penyelia atau mungkin selalu jumpa, tetapi sekadar berjumpa sahaja tanpa apa-apa penambahbaikan dan kemajuan.

C
Persembahan yang jelas dan disokong data-data tetapi tesis yang terlalu mudah dan tidak menyumbang apa-apa. Latihan ilmiah ini terlalu abstrak dan tidak berpijak di bumi nyata. Ia cuba menjelaskan bagaimana asas dan aplikasi tesis dengan penghujahan yang jelas tetapi sekadar secara eksplorasi semata tanpa mencapai apa-apa tujuan yang boleh memberi sumbangan. Kebiasaannya ia bersifat utopia semata-mata tanpa hujah yang diyakini. Pengenalannya mungkin jelas dan menarik tetapi tidak membawa kepada signifikan pengkajian dan apa sebenarnya yang ingin dicari. Secara umumnya keseluruhan isi ada isu dan menarik tetapi dikupas secara umum dan tidak terperinci. Ia hanya menghubungkan isi dan hujah secara tidak kukuh dan tidak meyakinkan walaupun isi dan hujah itu adalah betul. Ia hanya mendatangkan hujah dengan penyataan ornag lain tanpa kupasan dengan mengandaikan pembaca boleh memahami sendiri. Ayat-ayat digunakan ada nilai akademik tetapi tidak matang. Kesimpulan yang dihasilkan tidak terarah menjawab persoalan kajian dan tidak ada sokongan yang kuat. Ia mungkin ada beberapa kesalahan besar dan sederhana yang menjejaskan struktur ayat dan tatabahasa. Kebiasannya tidak mengikut nasihat penyelia walaupun sering berjumpa.

B
Ditulis dengan jelas dan menarik dan mempunyai tesis yang menarik tetapi tidak begitu meyakinkan. Ada isi dan penghujahan yang kompleks dan tersusun tetapi tidak memberikan apa-apa dapataan baru yang menyumbang. Ada hubungan antara isi-isi yang dibentangkan, namun seolah-olah boleh diandaikan dari awal tanpa perlu membuat kajian. Mungkin ada lompang-lompang idea yang perlu tetapi ditinggalkan kerana kekurangan usaha untuk mencari ataupun kerana kekurangan ilmu asas dalam bidang yang diterokai. Struktur yang jelas tetapi tidak ada penghujahan yang mantap. Bahasa yang jelas dan menarik tetapi tidak matang. Objektif dan persoalan kajian dicapai dan dijawab namun tidak memberikan apa-apa kesitimiewaan yang boleh dibanggakan. Gaya teknikal diikuti dengan baik dengan sedikit kesalahan kecil dari sudut teknik dan bahasa. Ada ketekunan dalam usaha tetapi tidak ada perancangan yang jelas sehingga menyebabkan mudah putus asa. Berjumpa dengan penyelia secara tidak konsisten walaupun mungkin rajin membuatnya.

A
Pembentangan yang jelas, menarik dan ada tesis yang kuat dan meyakinkan. Penghujahan yang mantap dan menyokong isi serta kupasan dan ulasan yang kompleks berasaskan analisa yang mapan. Huraian yang ringkas tetapi padat namun tidak meninggalkan apa-apa isi yang penting dan rujukan yang penting ke arah mencapai objektif walaupun kadang kala ada kelemahan dalam perujukan dan penjelasan. Ada sumbangan yang penting dalam perkembangan ilmu dan aplikasi praktikal. Kesimpulan yang baru dan mendatangkan jawapan kepada persoalan kajian dan juga kepada pembaca. Bahasa yang matang dan struktur yang jelas tanpa kesalahan yang ketara dalam bahasa. Teknik yang jelas tanpa kesalahan dan menampakkan ada keinginan secara ideal dan ada potensi menyambung ke peringkat yang lebih tinggi. Berdedikasi, sabar dan sedia meningkatkan diri dalam pengkajian serta konsisten berjumpa penyelia dan sentiasa ada kemajuan sehingga hari terakhir penyeliaan.

Semoga bermanfaat,
Seorang penyelia

4 comments:

Anonymous said...

Tak dinafikan hal ini berlaku kepada diri ini juga sendiri. mahukan tajuk yang meletup, tapi bila mula lakukan semuanya nak senang, rujukan nak yang melayu sahaja dan mengharapkan bila hantar esok ia diterime oleh penyelia.. walhal dalam proses melakukannya kesungguhan tak digunakan sepenuhnya.. apa yang ditulis sendiri pun yakin tak yakin..dan selepas melakukannya hanya pandang ke skrin laptop, kemudian dalam hati berkata: "ah, boleh la ni".. terima kasih kepada penulis, buat hati makin berdegup kencang menunggu hasil keputusan tesis yang dihantar.

PeRiNdU CiNtaMU said...
This comment has been removed by the author.
PeRiNdU CiNtaMU said...

huh.. pandai amal menjawab... wawawa... bagus artikel ni.. tapi aku rase semua bdk usul dh dapat A kot.. berdasarkan kajian aku... hehehe

cendool pulut said...

apapun keputusannya...kejujuran dalam meyelidiki dalam proses LI disiapkan adalah sesuatu unsur yg lebih bernilai....huhu..time kesih kpd Ustza Yusri di atas tunjuk ajar segalanya dari awal sehingga proses LI saya lengkap sepenuhnya...moga Allah rahmati Ustaz dan keluarga,,, :)