>
OLEH NURUL IZZAH SIDEK
(fikrahremaja@yahoo.com)
DALAM konteks masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan agama, konsep kerukunan dan harmoni harus difahami dan diterapkan dalam kehidupan seharian. Allah menciptakan manusia berpasang-pasang serta pelbagai bangsa supaya memberi asas kekenalan dan litaarafu iaitu mempunyai asas kesalingan, bekerjasama dan saling mempelajari antara satu sama lain (al Hujurat: 13).
Dalam realiti masyarakat majmuk Malaysia pada hari ini, sensitiviti kaum adalah suatu perkara yang seringkali mencetuskan keresahan dan adakalanya menimbulkan provokasi terhadap keamanan negara. Sebagai warga Malaysia yang bertanggungjawab dalam batas demokrasi, apakah peranan yang harus dimainkan oleh setiap warga terutamanya remaja dalam memastikan bahawa isu sensitiviti kaum ini tidak dimanipulasi sewenang-wenangnya untuk kepentingan diri?
Sensitif atau peka?
Apabila menyebut mengenai sensitiviti kaum, ia secara tidak langsung menyentuh mengenai sensitiviti agama, budaya dan cara hidup sesuatu kaum yang juga dikaitkan dengan perkembangan ekonomi, taraf pendidikan serta taraf hidup sosial sesuatu kaum.
Menyoroti kembali perjalanan Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum, pelbagai peristiwa dan kompromi yang berlaku di saat kemerdekaan di mana status orang mendatang diberikan status kekal dan kewarganegaraan di samping untuk menjalankan kontrak sosial untuk menghormati status agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa serta lain-lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Asas-asas ini amat penting difahami oleh generasi pewaris supaya tidak timbul ungkitan untuk mengubah kontrak sosial atas asas bahawa zaman dan suasana sudah berubah dan lebih terbuka.
Generasi remaja bukan Islam juga harus mempunyai kecenderungan yang sama kerana tanpa pengetahuan mengenai sejarah silam dan toleransi yang berlaku, tidak mungkin tercapai kemajuan seperti yang kita saksikan kini. Peristiwa 13 Mei 1969 memberi peringatan jelas bahawa api perkauman yang melampau boleh menganggu gugat asas-asas yang telah disepakati bersama.
Rencah masyarakat Malaysia yang hidup kaum tidak boleh disamakan dengan negara lain. Masyarakat Malaysia harus berupaya mengambil iktibar daripada bangsa-bangsa yang berjaya. Namun begitu, liberalisme dan kekaguman terhadap Barat atau tradisi lain bukanlah suatu jalan penyelesaian terbaik tanpa adanya usul periksa mengenai falsafah mereka. Menjadi maju dan moden tidak bermakna boleh meremehkan budaya dan sistem kepercayaan yang terbina sekian lama.
Apatah lagi dengan limpahan ilmu dan maklumat yang dipacu oleh perkembangan teknologi mendorong rakyat bersikap lebih terbuka dan lantang menyuarakan sesuatu isu. Kemunculan sesuatu isu di dalam negara juga akan dibincangkan secara meluas di laman-laman forum dan blog yang rata-ratanya adalah generasi muda. Penggunaan bahasa yang kurang sopan, bersifat menghasut serta tidak beretika sering mencetuskan kemarahan di kalangan pengguna.
Apakah perbincangan mereka ini berteraskan kepada ilmu sejarah silam yang mereka ada atau bersandarkan kepada emosi dan logik semata-mata? Apatah lagi dengan perbincangan yang tidak mempunyai kesimpulan yang konkrit serta alasan yang rapuh, dibimbangi akan memahatkan pemahaman yang salah terhadap sesuatu isu, terutamanya mengenai sensitiviti kaum.
Gerbang langit terbuka dan globalisasi tidak harus disalah guna untuk mengapi-apikan semangat perkauman. Tindakan menghasut serta berusaha mencetuskan api perkauman dikhuatiri menjadi bibit-bibit perpecahan dan ketidakstabilan sesuatu negara. Dalam tradisi Islam ada asas akidah, syariah, ibadah dan akhlak yang dijadikan landasan dalam kehidupan beragama. Dalam tradisi Islam juga, agama adalah sumber peradaban. Justeru, nilai-nilai yang disepakati bersama menjadi asas kefahaman dan toleransi kepada setiap warga untuk terus hidup aman dan harmoni.
Toleransi dalam hidup bermasyarakat majmuk
Al-Quran juga memberikan asas perbezaan agama (agamamu adalah agamamu dan bagi kami adalah agama kami). Ia memberi ruang yang patut kita berbeza dan di mana yang patut kita bersama. Apabila ajaran Islam menganjurkan umatnya amanah, adil dan telus ia bererti bahawa asas-asas nilai ini adalah sesuatu yang fitrah iaitu diperlukan oleh semua manusia.
Fitrah kejadian manusia sifatnya pelbagai. Asas kepelbagaian bila terangkum dengan akidah yang sama ia menjelmakan konsep ummat. Konsep ummatan wasata (‘umat pertengahan) mendukung makna sejagat bahawa Islam dan umatnya mendukung sikap sederhana serta membimbing jalan pertengahan.
Rasulullah SAW membentuk masyarakat berbilang agama sebagai landasan persefahaman yang unik. Kaum Muhajirin dan Ansar dipertautkan ukhwah atau persaudaraan mereka dengan talian akidah yang sama. Orang Yahudi, Nasrani dan Majusi ditautkan hubungannya dengan orang Islam berasaskan Piagam yang disepakati bersama. Dari situ Madinah berkembang menjadi sebuah kota yang akhirnya menjadi model bagi sebuah tamadun.
Menyelusuri perkembangan pemerintahan Islam di Andalusia di zaman puncaknya, kaum Yahudi dan Nasrani hidup aman dengan masyarakat Islam. Sikap keterbukaan terhadap ilmu yang bermanfaat dan memiliki kualiti universal kemudian diolah menjadi secara kreatif tidak mengurangi pengunggulan ilmu yang Islami.
Al Farabi, Al Kindi, Ibnu Khaldun serta Ibnu Sina terimbau dengan ilmu falsafah Greek seperti Aristotle, Plato dan Socrates. Al-Biruni dan Al-Khawarizmi mendalami budaya dan angka daripada tamadun India. Namun sumbangan mereka ini sedikit pun tidak mengurangi keunggulan tradisi ilmu Islam, sebaliknya membangunkan Tamadun Islam.
Terdapat manfaat berbanding kaum-kaum lain daripada bangsa berjaya yang diolah dalam kerangka sendiri.
Justeru, nilai-nilai murni seperti bantu-membantu sesama kaum, menghormati budaya dan adat mereka serta berbudi bahasa adalah nilai universal yang mendorong kestabilan dan kerukunan masyarakat majmuk. Kepimpinan dalam masyarakat majmuk merujuk kepada asas keilmuan yang baik, memiliki akhlak contoh, keupayaan menawarkan khidmat yang terbaik, mampu memikir dan mencari pendekatan terhadap masalah kepimpinan dan kepengikutan dengan bijaksana. Kepimpinan umat Islam yang terdiri daripada orang yang mempunyai asas ilmu yang kukuh, daya profesionalisme yang tinggi, upaya strategik yang merintis ke arah kebijaksanaan, keramahan dalam memberi daya kepimpinan akan mampu memikat perhatian orang lain. Kerana pada asasnya isu di kalangan rakyat adalah asas-asas mengenai hak untuk hidup dan bekerja, hak untuk diberi khidmat yang saksama dan hak untuk bersuara dalam lingkungan yang terizin.
Oleh itu, kepimpinan umat Islam yang menjadi teras kepimpinan di Malaysia seharusnya mampu mencerminkan wibawa yang lebih jelas supaya syak-wasangka dan konflik dapat dielakkan. Dalam tradisi Islam, kepimpinan adalah suatu amanah yang menuntut nilai-nilai yang Islami menjadi faktor yang dapat diterima.
Kesimpulan:
Perbincangan terbuka mengenai sensitiviti kaum harus dirangkumkan dalam konteks negara sendiri, dengan mengambil iktibar daripada sejarah lalu serta memahami asas konsep kenegaraan yang majmuk dan berbilang kaum. Generasi muda Islam harus melihat pengukuhan jiwa agama adalah sebagai faktor kestabilan. Tanpa kekuatan agama yang memangkin keperibadian dan misi hidup, generasi muda Islam akan mudah hanyut dan konsep keterbukaan dan liberal serta meremehkan budaya, jati diri serta nilai-nilai murni sebagai sesuatu yang bermakna dalam masyarakat berbilang kaum.
1 comment:
Doa adalah senjata manusia...
Post a Comment