Tuesday, February 23, 2010

Cinta sejati suami


Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my
2010/02/23

KUANTAN: Seorang warga emas bukan saja terpaksa menguruskan isterinya yang lumpuh akibat angin ahmar seorang diri sejak 15 tahun lalu malah dirinya tidak dipedulikan sembilan anaknya walaupun mereka tinggal berhampiran.

Difahamkan warga emas berusia 87 tahun itu yang menetap di Kampung Paya 3, di sini, terpaksa mengharungi perjalanan hidup penuh ranjau sejak isterinya, Rozimah Di, 50, diserang penyakit berkenaan hingga menyebabkannya lumpuh dan tidak mampu bercakap.


Lebih menyedihkan penderitaan suami isteri terbabit langsung tidak dipedulikan sembilan anak walaupun ada antaranya tinggal berhampiran rumah bapa kandung mereka.


Warga emas terbabit, Ramlan Ahmad Salleh, berkata dia terpaksa menempuh hari mendatang dengan penuh kesedihan dan amat memerlukan perhatian anak-anak ketika dilanda kesusahan.


Katanya, dia dan isteri kini hanya ditemani seorang anak bongsu mereka berusia 17 tahun, Mohd Nor Salam Al Hafiz Ramlan yang sudah tidak bersekolah sejak berusia 12 tahun akibat ditimpa kemalangan menyebabkannya patah kaki.


“Seorang ibu boleh menjaga sepuluh anak...namun sepuluh anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Betapa besar pengorbanan seorang wanita bergelar ibu tapi adakah mereka (anak-anak) dapat menilai pengorbanan ini apabila ibu mereka sendiri tidak mampu lagi bergerak dan hanya mengharapkan bantuan,” katanya ketika ditemui.


Katanya, dia yang tidak lagi mampu bekerja hanya mengharapkan bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara kehidupan mereka tiga beranak.


“Isteri saya hanya mendapat bantuan zakat RM200 sebulan dan memang tidak cukup untuk perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.


Ramlan berkata, segala urusan seharian Rozimah diuruskannya serta anak lelakinya itu kerana isterinya tidak mampu bergerak dan hanya terlantar di atas katil.


“Saya kasihan melihatnya, di saat begini pasti kelibat anak-anak terbayang di wajahnya namun Allah saja yang tahu perasaannya.


“Saya dapat merasakan dari air mukanya,” katanya sedih.


Katanya, jika isterinya sakit tenat dan perlu mendapatkan rawatan di hospital, dia terpaksa mendapatkan khidmat teksi untuk membawa wanita itu kerana tidak dipedulikan anaknya.


“Saya tidak tahu sampai bila mereka (anak-anak) akan sedar, saya hanya mampu berdoa semoga satu hari nanti mereka akan lebih bertanggungjawab terhadap ibu bapa,” katanya.


Menurutnya, kehidupan mereka bertiga di rumah berkenaan juga mengalami kesukaran apabila ketiadaan bekalan air sejak berpindah ke kawasan itu kira-kira lapan tahun lalu.


“Sudah beberapa kali saya memohon, namun sehingga kini kami masih tidak mempunyai bekalan air paip...yang ada hanyalah dihantar mereka menggunakan lori sebulan sekali,” katanya.






No comments: