MINDA BERTERASKAN TAUHID:
Dalam kehidupan, seringkali kita berhadapan dengan
berbagai-bagai cabaran dan situasi.
Apa yang membezakan kita semua ialah tentang cara kita
menghadapi situasi-situasi tersebut. Begitu banyak pilihan yang harus dibuat sebelum
mengambil tindakan yang sewajarnya. Jika kita hanya menuruti emosi, maka
tindakan kita selalunya terburu-buru dan tidak memikirkan kesannya dengan
teliti. Banyak keterlanjuran dan kesalahan berlaku kerana terlalu menurut
perasaan. Jika kita bertenang, mengambil masa untuk berfikir sejenak lalu
bertindak menggunakan strategi yang dapat difikirkan akal, maka tindakan
sebegini lebih efektif berbanding menuruti emosi semata-mata. Gunakanlah akal
sebaiknya. Bukankah Allah ta'ala telah mengurniakan akal kita dengan kemampuan
membezakan mana yang baik dan mana yang buruk?
FirmanNya:
"Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada
kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;Sesungguhnya berjayalah orang
yang menjadikan dirinya bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal
kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut
dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (As-Syams:
8-10)
Namun, akal manusia pun boleh dikelirukan. Hari ini, masalah
akal yang terpesong ini makin teruk. Banyak hal yang disangkakan baik,
sebenarnya buruk di sisi agama. Anda dapat lihat budaya homoseksual sudah
dianggap sebagai biasa, sedangkan ini jelas-jelas dilaknat di sisi Allah.
Demikian juga budaya hedonism, ini pun dilarang agama. Ini belum masuk golongan
yang menghalalkan yang haram, dan mengharamkan yang halal. Kekeliruan sebegini
berlaku kerana ada sesetengah manusia yang menyangka sebaik-baik keputusan
adalah menurut akal semata-mata.
Hakikatnya kita semua pun telah tahu akal manusia itu tidak
sempurna, ia tidak dapat lari daripada kesilapan. Penyelesaian bagi kekeliruan
ini mudah sahaja, rujuklah kepada Al-Quran dan Sunnah RasulNya sebagai hakim
dalam kehidupan. Kedua-dua sumber agama ini adalah sempurna dan terpelihara
daripada kesilapan, sebagai manual kehidupan kita untuk meraih kejayaan di
dunia dan di akhirat. Ramai orang memang sedia maklum hal ini, tapi hal ini
perlu diingatkan selalu kerana ramainya orang yang sudah berani untuk
meremehkan petunjuk agama. Pokoknya, untuk membuat pilihan dalam bertindak,
tidak cukup dengan hanya menggunakan akal sahaja, tapi perlu pastikan
justifikasi anda itu disuluhi dengan ilmu Islami yang sahih serta berpaksikan
keimanan kepada Allah ta'ala.
Maksud saya, apabila anda berhadapan dengan sesuatu urusan
atau masalah, tanyalah kepada diri, "apakah yang diperintahkan oleh Allah
ta'ala apabila hambaNya berada dalam situasi sebegini? Jika saya bertindak
begini atau begitu, apa kesannya untuk saya di akhirat nanti? Apakah Allah
ta'ala redha atau murka jika saya berbuat begini?" dan lain-lain soalan
sepertinya.
Untuk justifikasi yang efektif, kita memang memerlukan ilmu.
Lebih banyak yang kita belajar tentang Al-Quran dan As-Sunnah, maka semakin
cemerlanglah pilihan tindakan yang kita ambil dalam kehidupan harian. Jadi,
kita harus belajar, belajar dan belajar tanpa jemu.Apabila segala amalan kita
berpaksikan untuk meraih keredhaan Allah ta'ala, segala amalan pasti dirasakan
seronok. Kita lebih mementingkan kualiti kerja daripada hasilnya. Mentaliti
sebegini membolehkan kita merasakan kenikmatan melakukan sesuatu amal soleh.
Sebab, kita sudah tahu Allah menilai usaha kita bukan hasilnya, sebab hasil
usaha adalah menurut ketetapanNya. Sedangkan manusia pula menilai hasil, bukan
usaha.
Anda pilihlah, hendak redha manusia atau redha Allah? Bukan
saya kata jangan melihat kepada hasil, cumanya, apabila kita lebih mementingkan
hasil daripada kenikmatan proses bekerja kerana Allah, kemanisan bekerja itu
tidak dapat dirasai. Ini resepi tepat untuk stress. Malah, pahala beramal pun
mungkin tidak dapat. Oleh itu, bekerjalah habis-habisan kerana Allah, dan
berdoalah untuk hasil yang terbaik.Apabila kita niatkan segala amalan kerana
Allah, kenikmatan beramal akan terasa, insyaAllah.Mengapa tidak mahu membaca
buku kerana mencari redha Allah? Mengapa tidak mahu menyapu sampah kerana
mengharapkan redha Allah? Mengapa tidak mahu senyum kepada seorang sahabat
kerana inginkan redha Allah? Segala perbuatan yang halal dan bermanfaat, jika
diniatkan kerana Allah, maka itu adalah ibadah.
Bak kata Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya setiap amalan
itu bergantung pada niatnya" (Bukhari dan Muslim) Saya ingin bertanya
lagi, adakah anda sentiasa merasakan Allah mengawasi segala isi hati dan
tindak-tanduk anda? Jika tidak, itu satu masalah. Sebab, berasa aman daripada
pengawasan Allah adalah salah satu muqaddimah untuk keinginan melakukan dosa.
Jika anda tidak biasa mempunyai perasaan ini, paksalah dan ingatkan diri selalu
tentang pengawasan Allah, sehingga perasaan ini menjadi automatik dan sebati
dalam minda kita. Minda yang berteraskan tauhid ialah minda yang sentiasa sedar
akan pengawasan Allah. Kita semua tidak dapat terlepas daripada perhatian Allah
ta'ala walau sesaat pun. Sebab itu kita perlu menjaga diri kita menurut
pandangan Allah. Bukan pada pandangan manusia. Biarlah apa manusia hendak kata,
baik mereka suka atau tidak, yang penting Allah redha kepada kita. Jika anda
sentiasa patuh kepada perintah Allah dalam urusan keduniaan dan akhirat, jangan
risau dengan kehidupan dan cabaran kehidupan duniawi, sebab Allah pasti akan
memelihara anda. Bukankah Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu"
(Tirmidzi: Hadith ini hasan sahih)
Sentiasalah ingatkan diri untuk bertaqwa kepada Allah ta'ala
setiap masa. Semaikan kemurnian tauhid ke dalam corak pemikiran. Berfikirlah
mengikut orientasi keimanan. Saya rasa anda sudah faham maksud saya.
Mudah-mudahan, dengan menggunakan minda sambil berteraskan
tauhid, urusan kehidupan akan dipermudahkan, jiwa menjadi tenang selalu,
kemudian di akhirat kelak kita termasuk dalam kelompok orang-orang yang beroleh
kemenangan. Itulah kepuasan dan keseronokan yang terunggul, tiada tolok
bandingnya dengan segala kenikmatan yang pernah ada di dunia.Wallahu a'lam.
sumber : atiqallahhubbuddin.blogspot.com
No comments:
Post a Comment